Terengganu terpaksa berterima kasih kepada sepakan penalti di minit akhir untuk mengikat Perak dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Setelah tumbang di tangan Sabah minggu lalu, Perak sekali lagi turun di laman sendiri untuk melayani kunjungan jaguh Pantai Timur, Terengganu yang terus dihantui badi tiga mata.
Pengendali Perak, Yusri Che Lah menurunkan Nur Azfar Fikri dan Firdaus Saiyadi di bahagian sayap sambil Safwan Mazlan dan Shahrul Nizam membentuk gandingan di bek tengah Terengganu.
Seawal minit ke-9, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dan tugas itu disempurnakan dengan tenang oleh kapten, Luka Milunovic untuk Perak di hadapan 1-0.
Usaha berterusan pelawat bagi mencari jaringan penyamaan akhirnya berhasil apabila Nelson Bonilla manampan hantaran lintang Manny Ott sebelum babak pertama berakhir.
Separuh masa pertama tamat, Perak 1-1 Terengganu.
Kembali dari rehat, giliran Luciano Guaycochea pula meledak gol kedua buat Perak menerusi sepakan penalti yang sekali lagi dihadiahkan buat The Bos Gaurus pada minit ke-57.
Anak-anak buah Badrul Afzan berusaha bangkit merencana gerak dengan membawa masuk pemain sayap lincah, Akhyar Rashid dan Nik Sharif untuk membantu jentera serangan.
Walau bagaimanapun, disiplin tinggi dipamer pemain Perak berjaya mematahkan serangan bertali arus yang dilancarkan oleh pelawat menyebabkan tiada jaringan dihasilkan.
Di masa tambahan, Terengganu berjaya menyamakan skor hasil sepakan penalti Nik Sharif untuk pelawat membawa pulang satu mata.
Aksi di Stadium Manjung berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Saingan Liga Super minggu hadapan menyaksikan Perak bakal bertandang ke Selayang untuk bertemu PDRM sambil Terengganu pula kembali ke Gong Badak untuk berdepan Penang.