Aksi Liga Super minggu ke-19 membabitkan Penang FC dan Selangor FC merekodkan kehadiran tertinggi untuk perlawanan minggu berkenaan.
Aksi ini menyaksikan kedua-dua pasukan berentap buat kali ketiga dalam musim 2024/25. Sebelum ini, Harimau Kumbang dan Merah Kuning berentap dalam aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup.
Aksi tersebut berakhir dengan kemenangan 1-0 buat pelawat. Kekalahan tersebut mendorong 2,198 penyokong memberi sokongan kepada Penang untuk mengikat Selangor 1-1.
Selepas ketinggalan menerusi rembatan deras Ronnie Fernandez, penalti kapten, Rafael Vitor menceriakan penyokong di Stadium Bandaraya.
Kehadiran kedua tertinggi direkodkan dalam aksi Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Perlawanan itu menyaksikan kehadiran 2,046 penyokong. Meskipun Peteh mempamerkan aksi lebih mantap, itu tidak cukup menghalang Harimau Selatan meraih kemenangan 1-0.
Seterusnya, aksi Perak FC menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) merekodkan kehadiran 1,106 orang di Stadium Manjung.
Penyokong yang hadir pulang dengan gembira apabila The Bos Gaurus meraih kemenangan besar 7-0. Empat gol daripadanya disumbangkan oleh penyerang Brazil, Clayton.
Dua lagi aksi menyaksikan kehadiran sebanyak tiga angka. Dua aksi itu ialah aksi Sri Pahang FC menentang KL City FC dan Negeri Sembilan FC menentang Sabah FC.
Aksi Sri Pahang-KL City di Temerloh merekodkan kehadiran seramai 956 orang. Aksi Negeri Sembilan-Sabah pula menyaksikan kehadiran seramai 537 orang.
Aksi di Temerloh menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Tentangan sengit Sang Rusa gagal menghalang Sang Badak daripada meraih kemenangan 2-1 di Paroi.