Kehadiran tertinggi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bagi musim 2024-2025 telah dicatatkan ketika perlawanan Liga Super antara Terengganu vs Kelantan DN.
Aksi yang berlangsung pada Mei lalu itu menyaksikan skuad Terengganu cemerlang mengatasi Kelantan DN dengan skor 3-0 hasil jaringan Ismaheel Akinade, Manuel Ott dan Nurillo Tukhtasinov.
Pertemuan Derbi Pantai Timur tersebut mendapat tumpuan ramai sehingga mencatatkan rekod kehadiran tertinggi bagi musim lalu dengan lebih 10,000 pengunjung yang hadir ke stadium.
Menerusi data yang dikumpulkan oleh MakanBola, seramai 13,411 penonton yang hadir ketika itu dan satu-satunya aksi yang menarik kehadiran 5 angka di SSMZA pada musim lalu.
Kehadiran kedua tertinggi di SSMZA pula dicatat ketika aksi pembukaan Liga Super antara Terengganu vs Perak dengan rekod 8,150 penonton diikuti aksi bertemu Sri Pahang (5,211).
Sementara, aksi Terengganu vs Kuching City pada Februari lalu pula hanya sekadar menarik 853 penyokong sekaligus menjadi perlawanan dengan kehadiran terendah di SSMZA.
Terengganu yang dikendalikan oleh Badrul Afzan bermula pada pertengahan musim menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-5 selain turut bergelar semi finalis Piala Malaysia dan Piala FA.