Terengganu hari ini turun dalam aksi Liga Super 2024/2025 dalam misi memburu tiga mata berdepan Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Terengganu.
Tomislav Steinbruckner sebagai pengendali Skuad Peteh meletakkan kepercayaan kepada gandingan Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Ismaheel Akinade di bahagian serangan sementara Kelantan Darul Naim menurunkan Valdumar Augusto, Chadrack dan Wan Fazli sebagai penyerang.
Gol pembukaan perlawanan hadir pada minit ke-36 permainan selepas pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil. Pertahanan Kelantan, Afzal Akbar dikesan menarik baju kapten pasukan Terengganu, Safawi Rasid. Ismaheel Akinade bertindak tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol pertama Terengganu.
Kelantan Darul Naim terus dihukum sebelum tamat babak pertama permainan. Import Terengganu, Nurillo Tukhtasinov mencatat nama sebagai penjaring sekaligus memastikan Terengganu mendahului 2-0 di aksi separuh masa pertama.
Bersambung aksi di babak kedua permainan, Terengganu menambah duka pasukan pelawat menerusi Manuel Ott. Tangkapan kurang kemas penjaga gol Kelantan, Khatul Anuar dimanfaatkan Ott dengan satu percubaan yang terus menerjah jaring.
Pasukan Kelantan Darul Naim miliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol saguhati menerusi Wan Fazli. Namun percubaan kencang Wan Fazli terkena palang sekaligus gagal memberikan jaringan buat Kelantan.
Penjaga gol Terengganu, Syed Nasrulhaq turut menjadi individu penting dalam menidakkan setiap percubaan yang dilakukan pasukan pelawat. Beliau beberapa kali berjaya menepis bola keluar memastikan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.
Perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berakhir dengan keputusan Terengganu 3-0 Kelantan Darul Naim.
Kelantan kini mencatat tiga kekalahan berturut-turut kepada Pahang, Sabah dan Terengganu dalam tiga aksi pertama kempen Liga Super. Terengganu pula kini telah mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri iaitu ketika berdepan Penang tempoh hari.
Selepas ini, kempen Liga Super akan memberi laluan kepada saingan Piala FA dan Terengganu dijadual berdepan Perak sementara Kelantan Darul Naim bakal berdepan gergasi dari Selatan, Johor Darul Ta’zim pada 15 Jun 2024.