Terengganu FC kecewa lagi apabila sekadar seri 2-2 dengan Kuching City FC dalam aksi tertunda Liga Super.
Selepas tewas 2-1 kepada KL City FC, Terengganu perlu meraih kemenangan jika ingin menghambat Sabah FC yang menduduki tangga ketiga liga. Kuching City pula mahu melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan.
Akram Mahinan dan Engku Shakir Engku Yacob menjadi pilihan Badrul Afzan Razali sebagai pengganti Nurillo Tukhtasinov dan Akhyar Rashid. Jordan Mintah mengetuai jentera serangan The Cats.
Separuh masa pertama menyaksikan Peteh berusaha mencari gol pendahuluan menerusi Engku Shakir, Ismaheel Akinade, Syahmi Zamri, Manuel Ott dan kapten, Safawi Rasid.
Terengganu membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Ott. Sepakan percuma bintang Filipina itu terkena benteng The Cats sebelum menewaskan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh.
Syahmi berharap dapat menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit akhir babak pertama. Malangnya, percubaan beliau langsung tidak menepati sasaran.
Gol Ott memastikan Peteh memiliki kelebihan 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri untuk menambah sengat pasukan itu.
Terengganu cemas apabila terjahan keras Engku Shakir terkena dada pemain The Cats. Beliau bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah oleh pengadil, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah.
Susulan itu, Badrul memasukkan Akhyar sebagai pengganti Engku Shakir pada minit ke-53.
Akinade menggandakan kelebihan Peteh pada minit ke-61. Meskipun gol tersebut pada awalnya dibatalkan, gol itu kemudiannya disahkan oleh Tuan Mohd Yassin selepas melihat insiden itu di monitor VAR.
Keceriaan kem tuan rumah hanya bertahan selama tiga minit. Bekas penyerang Terengganu, Jordan Mintah merapatkan jurang dengan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.
Seminit selepas itu, giliran seorang lagi bekas tonggak import Terengganu, Petrus Shitembi mencetak nama sebagai penjaring. Ini menjadikan kedudukan 2-2 buat kedua-dua pasukan.
The Cats kemudiannya dipaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-76. Filemon Anyie bernasib malang apabila mengutip kad kuning kedua.
Terengganu berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Peteh meraih 28 mata, lima mata di belakang Sabah FC.
Kuching City pula memintas Perak FC di tangga kelima dengan 24 mata, satu mata di hadapan pasukan utara tanah air itu.
Selepas ini, Kuching City akan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 26 Februari. Terengganu pula akan menentang Sri Pahang FC pada 27 Februari.