Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan rentak cemerlang selepas menewaskan Sabah dalam aksi Liga Super LS18 di Stadium Sultan Ibrahim.
Biarpun tumpul tanpa jaringan di babak pertama permainan, skuad kendalian Hector Bidoglio tidak berdepan masalah sukar untuk bangkit menjaringkan tiga gol di babak kedua permainan.
Gol pembukaan perlawanan hadir menerusi sepakan percuma Juan Muniz. Ledakan cantik Juan pada minit ke-51 permainan gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.
Tidak cukup dengan itu, import dari Sepanyol ini menjaringkan gol kedua selepas memanfaatkan hantaran daripada Heberty Fernandes sekaligus memastikan gol kedua diraih pasukan tuan rumah.
Penyerang sensasi Harimau Selatan, Bergson da Silva tidak melepaskan peluang untuk meledak selepas menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-80 dan melengkapkan malam gemilang JDT dari gelecekan individu pada minit ke-83 sekaligus menutup aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
JDT melengkapkan kemenangan ke-16 dalam saingan Liga Super dengan menewaskan Sabah FC dengan keputusan 4-0.
Harimau Selatan terus unggul di kedudukan pertama selepas 17 perlawanan dengan 16 kemenangan dan satu seri sekaligus mengumpul 49 mata.
Sabah pula di kedudukan ketiga dengan 29 mata diraih selepas 15 perlawanan.