Liga Super: JDT Mudah Tundukkan PJ City
MakanBola
Johor Southern Tigers
Sponsors

Perlawanan Liga Super ini menemukan pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melayan kunjungan pasukan Petaling Jaya City FC (PJ City). Keputusan berpihak kepada JDT yang mudah menumbangkan PJ City dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi.

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Bergson da Silva (2 gol) dan Fernando Forestieri (2 gol)

Ad

Pasukan JDT memulakan permainan dengan kawalan bola yang baik dan beberapa percubaan awal mereka tidak menepati sasaran.

Ad

Arif Aiman mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol pada minit ke-10 namun rembatan kaki kiri beliau berjaya ditepis penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz.

PJ City hampir saja mengejutkan tuan rumah pada minit ke-20 apabila Shivan Pillay berjaya melepaskan satu sepakan lencong menarik namun dinafikan palang gol di kala Farizal Marlias sudah tertewas.

Ad

Bergson akhirnya memberikan gol pendahuluan pada minit ke-23 melalui saturembatan deras dari luar kotak penalti sekali gus menjadikan kedudukan 1-0 memihak JDT.

Ad

JDT hanya memerlukan tiga minit untuk menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 selepas Fernando Forestieri meledak menerusi satu sepakan percuma berkelas dunia yang sama sekali menewaskan Kalamullah.

Permainan terus dikuasai JDT dengan beberapa percubaan merbahaya namun kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, perlawanan bermula dengan seimbang dengan kedua-dua pasukan cuba menguasai permainan dengan hantaran-hantaran pendek.

Bergson sekali lagi mempamerkan taringnya apabila pada minit-65 beliau meledak melalui satu rembatan deras yang sama sekali mematikan langkah Kalamullah untuk menghadiahkan gol ketiga buat JDT.

Pesta gol JDT tidak terhenti di situ apabila pada minit ke-85, Forestieri menyudahkan hantaran Bergson untuk gol keempat pasukan JDT.

Perlawanan akhirnya ditamatkan dengan kemenangan besar buat JDT. Kemenangan ini semakin mengukuhkan kedudukan JDT di takhta Liga Super dengan mengumpul 22 mata manakala PJ City kekal di tangga ke-9 dengan mengumpul 9 mata.

Selepas ini, JDT akan menentang Melaka United pada 2 Julai manakala PJ City akan berehat panjang sebelum menentang Kuala Lumpur City FC pada 16 Julai.