Advertisements
Liga Super: JDT Tunjuk Taring Dengan Mudah Menewaskan KL City
Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Perlawanan ketiga Liga Super yang menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) berkesudahan dengan kemenangan buat JDT dengan keputusan 3-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium KLFA Cheras sebentar tadi.

Perlawanan dimulakan dengan JDT cuba bermain secara hantaran-hantaran pendek namun pemain KL City pantas merapati pemain-pemain JDT. Untuk 10 minit pertama tiada percubaan merbahaya dari kedua-dua pasukan.

JDT akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-17 melalui satu rembatan deras jarak dekat Fernando Forestieri. Segalanya bermula daripada satu hantaran jauh Syahmi Safari dari bawah yang gagal dikeluarkan oleh Declan Lambert. Forestieri yang hanya menunggu kesilapan Declan terus membawa bola kehadapan dan merembat menewaskan Kevin Mendoza.

Perlawanan diteruskan dengan beberapa insiden kekasaran dan satu insiden pergaduhan berlaku selepas pemain KL City, Hadin Azman mengasari Forestieri. Kekasaran tersebut menimbulkan kemarahan kem JDT dan Shane Lowry secara tiba-tiba meluru kepada Hadin. Pengadil akhirnya melayangkan kad kuning kepada Hadin dan Lowry atas insiden tersebut.

JDT hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma menarik Leandro Velazquez namun sepakannya menggegar palang gol.

Bergson pula mendapat peluang keemasan pada mdainit ke-29 namun gagal menyudahkannya walaupun hanya berhadapan situasi satu lawan satu bersama Kevin Mendoza.

Leandro sekali lagi mempunyai peluang pada minit ke-32 melalui sepakan percuma namun mudah ditangkap penjaga gol.

Pasukan KL City dilihat bergelut untuk melancarkan serangan kerana mereka turun tanpa penyerang tulen dan mempertaruhkan Paulo Josue sebagai penyerang.

Tempo permainan menjadi perlahan dan insiden kekasaran berterusan buat kedua-dua pasukan. Kedudukan kekal 1-0 memihak JDT untuk 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, KL City membawa masuk Romel Morales sebagai satu usaha untuk memburu gol penyamaan.

Paulo Josue mendapat peluang pada minit ke-46 melalui rembatan jarak jauh namun rembatannya tersasar. Itu merupakan percubaan pertama KL City.

Kemasukan Romel Morales menampakkan nafsu KL City untuk menjaringkan gol dengan beliau kerap memberikan masalah kepada barisan pertahanan JDT.

KL City menerima satu tamparan hebat selepas kad merah dilayangkan kepada Kenny Pallraj pada minit ke-58. Ianya gara-gara insiden Kenny yang dilihat menampar belakang Leandro. Kejadian yang berlaku di hadapan pengadil itu sekali gus mengundang padah dan Kenny terus dilayangkan kad merah.

Pada minit ke-66, Paulo Josue punyai peluang terbaik selepas mendapat umpanan yang cantik dari Irfan Zakaria. Namun percubaannya berjaya ditepis kemas oleh Farizal Marlias.

Bergson hampir menggandakan kedudukan buat JDT pada minit ke-68 namun percubaan lambung yang dilakukan Bergson tersasar sedikit di sisi kanan gawang Mendoza.

Walaupu beraksi 10 pemain, semangat pemain KL City tidak luntur dan terus melakukan gerak serangan untuk mendapatkan gol penyamaan.

Pada minit ke-80, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman dijatuhkan Nabil Hakim. Bergson yang mengambil sepakan penalti tersebut, mudah menewaskan Kevin Mendoza untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak JDT.

Pada minit ke-86, Safawi punyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun rembatannya meliar jauh.

Giancarlo hampir saja menjaringkan gol buat KL City namun tandukannya hasil sepakan sudut Paulo Josue sedikit saja tersasar di sisi kiri gawang JDT.

Ketika perlawanan hampir tamat, Bergson berjaya meledak gol kedua peribadinya malam ini selepas merembat deras hasil umpanan Safiq Rahim sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Perlawanan ditamatkan sejurus gol Bergson itu dan kemenangan berpihak kepada JDT dengan keputusan 3-0. Kemenangan ini menyaksikan JDT terus memimpin liga manakala KL City masih buntu mencipta kemenangan selepas 3 perlawanan Liga Super.