Liga Super: Kedah Cemas Sebelum Tewaskan Kelantan United
Liga Super
Kedah Darul Aman FC
Advertisements

Kedah sedikit cemas sebelum merekodkan kemenangan ketiga mereka dalam Liga Super. Anak-anak buah Nafuzi Zain merekodkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.

Sebaik sepak mula, Kedah berusaha mendominasi lawan mereka. Tetapi tuan rumah terlebih dahulu di hadapan menerusi Devid Silva pada minit ke-21.

Bermula dari OJ Porteria, dia menghantar bola kepada Syazwan Zainon sebelum satu hantaran belakang kepadanya dihantar kepada Silva. Walaupun dikawal oleh tiga pemain pertahanan Kenari, bekas penyerang KS Kastrioti itu melepaskan rembatan menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Advertisements

Tersentak, Kedah memperkemas rentak permainan mereka dan hampir menyamakan kedudukan menerusi Lee Tuck pada minit ke-32. Bagaimanapun, sepakannya terkena tiang sebelum dikeluarkan pertahanan Kijang Hijau.

Bagaimanapun, Kenari berjaya menyamakan kedudukan menerusi Willian Lira selepas menerima umpanan sepakan sudut yang diambil Tuck dua minit selepas itu.

Advertisements

Sebelum rehat, Kedah memperoleh sepakan penalti apabila Manuel Hidalgo dijatuhkan oleh Fandi Othman. Bekas pemain import Pahang itu mudah menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol Kelantan United, Asyraaf Omar.

Selepas rehat, anak-anak buah Tomas Trucha berusaha memburu gol penyamaan. Percubaan terbaik mereka ialah pada minit ke-65 menerusi sepakan percuma jarak jauh Syazwan tetapi ia sempat ditepis Kalamullah.

Advertisements

Tuan rumah dibolosi buat kali ketiga lain menerusi Al-Hafiz Harun pada minit ke-79. Bermula dari Tuck, dia melorongkan bola kepada Jonathan Balotelli yang melarikan bola ke arah gol Kelantan United. Walaupun Balotelli berjaya disekat Asyraaf, bola yang terlepas berjaya ditolak Al-Hafiz ke dalam gawang.

Bagaimanapun, giliran Kijang Hijau pula mendapat sepakan penalti pada minit ke-86 selepas Bojan Ciger didapati menolak pemain tuan rumah dalam kotak penalti. Yan Victor mudah menewaskan Kalamullah bagi menjadikan kedudukan 3-2.

Advertisements

Perlawanan sedikit tegang seketika apabila Asraff Alifuddin didapati mengasari Al-Hafiz sehingga melanggar papan iklan. Ini mengakibatkan sebahagian pemain kedua-dua pasukan bersemuka walaupun selepas pengadil melayangkan kad kuning terhadap Asraff.

Di sebalik serangan bertubi-tubi Kelantan United, kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini meletakkan Kedah di tangga keempat dengan sembilan mata. Sementara Kijang Hijau pula menduduki tangga tercorot dengan satu mata.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram