Advertisements
Liga Super: Kelantan United Buatkan Penang Terus Kempunan
Liga Super
MakanBola
Kelantan United

Penang FC masih gagal mendapatkan rentak kebangkitan rentetan daripada deretan kekalahan dalam saingan Liga Super. Kali ini mereka tunduk kepada tuan rumah, Kelantan United 0-1 dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV sebentar tadi.

Babak pertama bermula dengan kedua-dua pasukan dilihat sangat berhati-hati. Penguasaan bola juga seimbang di antara kedua-dua pasukan.

Peluang terbaik untuk Penang menjaringkan gol telah hadir pada minit ke-26 hasil sepakan percuma jarak jauh. Namun Shahril Sa’ari berjaya menyelamatkan percubaan tersebut.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, Kelantan United mendapat peluang keemasan untuk meledak melalui Kim Deok, namun rembatan jarak dekat pemain Korea Selatan itu berjaya ditepis Azfar Arif. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah banyak mengawal permainan dan melancarkan gerak serangan terutamanya dari ayam tambatan mereka, OJ Porteria.

Hasil usaha yang jitu, Kelantan United akhirnya berjaya dihadapan pada minit ke-67 melalui pemain import dari Croatia, Dominic Balic sekali gus mengubah kedudukan menjadi 1-0 memihak tuan rumah.

Tersentak dengan gol itu, Penang menggandakan asakan namun usaha mereka terbantut selepas barisan pertahanan Kelantan United dilihat berdisiplin dalam bertahan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan tiga mata buat Kelantan United. Biarpun menang, Kelantan United kekal di tangga ke-12 manakala Penang juga kekal di tangga ke-10.