Aksi ke-18 Liga Super 2023 menyaksikan finalis Piala FA, KL City FC tidak berdepan masalah untuk membenam Kelantan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Cheras, KL menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi percubaan pemain import, Leonardo Rolon seawal minit ke-3.
Tersentak dengan jaringan tersebut, The City Boys menggandakan asakan untuk menembusi gawang gol The Red Warriors.
Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila perancang tengah pasukan, Zhafri Yahya melepaskan rembatan melepasi kawalan Johan Shahzidane.
Babak pertama tamat dengan keputusan 1-1.
Bersambung babak kedua, KL City tidak memberi ruang kepada lawan apabila hantaran T. Saravanan berjaya mencari Romel Morales dalam kotak penalti yang melakukan penyudah tenang untuk gol kedua pasukan.
Zhafri Yahya sekali lagi memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaannya dihalang penjaga gol Kelantan.
Romel Morales sekali lagi menjadi watak penting apabila meledak gol ketiga pasukan sebelum J. Partiban menjadikan kedudukan 4-1 pada minit ke-83.
Morales melengkapkan hatrik pada babak akhir untuk melengkapkan kemenangan besar di laman sendiri.
Keputusan ini kekal hingga wisel penamat sekaligus menyaksikan KL City melonjak ke tangga ke-6 dengan 28 mata.
Bagi aksi berikutnya, Kelantan akan melayan kunjungan JDT bagi aksi Piala Malaysia manakala KL City akan berdepan Penang.