Liga Super: Ledakan Park Tae-su Ranapkan Impian Melaka United

Melaka United VS Sabah Nazriul Park Liga Super: Ledakan Park Tae-su Ranapkan Impian Melaka United
Melaka United
Ikuti Telegram MakanBola (3712)

Aksi ketiga saingan Liga Super 2022 menyaksikan pertembungan di antara pasukan Melaka United menentang Sabah FC. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat itu berkesudahan dengan kemenangan buat pasukan Sabah FC.

Babak separuh masa pertama bermula dengan asakan daripada kedua-dua pasukan. Pasukan tuan rumah dilihat lebih berhati-hati ketika merencanakan asakan sementara Sabah FC konsisten mendominasi perlawanan.

Usaha anak buah Ong Kim Swee dalam menggandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain import Sabah FC, Park Tae-Su membuka akaun jaringan. Gerakan solo Park yang melepasi tiga pertahanan Melaka United telah menatijahkan gol buat pasukan.

Rembatan deras pemain daripada Korea Selatan pada minit ke-25 ini gagal diselamatkan oleh penjaga gol Melaka United, Nor Azlan Razali.

Setelah pasukan Melaka United ketinggalan satu gol di hadapan, mereka dilihat terus buntu dalam mencari peluang untuk menembusi gawang Sabah FC. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan Melaka United 0-1 Sabah FC.

Babak kedua bermula dengan asakan daripada pasukan tuan rumah. Melaka United dilihat semakin agresif untuk mencari gol penyamaan apabila peluang terbaik hadir pada minit ke-58 perlawanan menerusi sepakan percuma daripada Sony Norde. Malangnya sepakan deras itu berjaya ditepis penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.

Permainan yang didominasi oleh Melaka United malam ini tidak memberikan apa-apa kelebihan kerana ketumpulan penyerang di bahagian hadapan. Disiplin serta kekebalan benteng pertahanan Sabah FC telah menggagalkan niat dan hasrat Melaka United untuk mencetak jaringan.

Empat minit masa tambahan yang diberikan pengadil tidak mengubah keputusan perlawanan. Sabah FC berjaya mengutip tiga mata penuh di Stadium Hang Jebat, Melaka United 0-1 Sabah FC.