Liga Super: Negeri Sembilan Dan Selangor Sama Kuat Selepas Terikat Di Paroi
Dunia
MFL
Advertisements

Aksi ketiga perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC berakhir dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Paroi sebentar tadi.

Gerakan menyerang lebih memihak kepada pasukan pelawat di awal permainan. Selangor hampir mendahului pada minit ke-16 melalui penyerang berbisa Shahrel Fikri. Namun rembatan Shahrel sedikit tersasar di kanan gawang Negeri Sembilan.

Selangor meneruskan asakan. Safuwan Baharudin hampir menjaringkan gol namun rembatan ketua pasukan Selangor itu berjaya diselamatkan dengan baik sekali oleh Syihan Hazmi di gawang Negeri Sembilan.

Advertisements

Satu tamparan hebat buat Selangor apabila pada minit ke-23, pertahanan dari Jordan iaitu Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah. Ianya gara-gara tindakan Yazan yang menjatuhkan Matheus Alves dari belakang ketika mana penyerang Negeri Sembilan itu berada dalam situasi menyerang dan berpotensi untuk jaringkan gol.

Negeri Sembilan juga berpeluang menjaringkan gol melalui rembatan pemain muda mereka Izzudin Roslan pada minit ke-30 namun rembatannya membias pertahanan lawan dan tersasar.

Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-35 apabila pertahanan Negeri Sembilan iaitu Nasrullah Hanif Johan yang tiada tekanan pada ketika itu tertampan gol ke gawang sendiri. Selangor mendahului Negeri Sembilan 1-0.

Advertisements

Selangor hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-44 namun rembatan jarak dekat Shahrel Fikri membias pertahan dan tersasar sedikit ke sisi gawang.

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan Selangor mendahului tuan rumah Negeri Sembilan dengan kedudukan 1-0. Walaupun beraksi dengan sepuluh pemain, namun Selangor tetap selesa dengan taktikal menyerang.

Bersambung babak kedua, pasukan Negeri Sembilan dilihat tertekan dengan taktikal menyerang pasukan Selangor.

Advertisements

Hasilnya pada minit ke-48, Selangor dihadiahkan sepakan penalti selepas Shahrel Fikri yang berada di kotak penalti dijatuhkan oleh Herold Goulon.

Herlison Caion yang mengambil sepakan penalti itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakannya sekaligus menjarakkan kedudukan menjadi 2-0.

Selangor tidak terhenti di situ, serangan terus dilakukan dan pada minit ke-51, Hyuri hampir menggandakan kedudukan buat Selangor namun rembatannya berjaya diselamatkan Syihan di gawang Negeri Sembilan.

Advertisements

Negeri Sembilan akhirnya berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-57 selepas Herold Goulon berjaya menyempurnakan penalti buat Negeri Sembilan selepas Adetu Kossi dijatuhkan di dalam kotak penalti. Negeri Sembilan merapatkan kedudukan menjadi 2-1.

Selepas gol Negeri Sembilan itu, kedua-dua pasukan semakin rancak dalam melancarkan serangan namun ketumpulan penyudah membayangi mereka.

Matheus Alves hampir menyamakan kedudukan buat Negeri Sembilan pada minit ke-68 namun rembatannya diselamatkan Khairul Azhan walaupun tangkapan Azhan dilihat kurang kemas.

Pada minit ke-75, Negeri Sembilan berjaya mendapatkan gol penyamaan selepas berlaku situasi kelam kabut di hadapan gol dan bola jatuh di hadapan Adetu Kossi. Kossi tidak menunggu lama dan terus merembat deras sekali gus menyamakan kedudukan menjadi 2-2.

Negeri Sembilan terus melancarkan serangan dan Matheus Alves hampir menjaringkan gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-84 namun rembatannya sedikit tersasar selepas terkena kaki Sharul Nazeem.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel tamat ditiupkan. Kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata di Stadium Paroi.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram