Liga Super: Sabah Kulaikan Kedah di Likas
Dunia
Kedah Darul Aman
Advertisements

Perlawanan keenam Liga Super menemukan pasukan tuan rumah Sabah FC yang melayan kunjungan pasukan gergasi utara, Kedah Darul Aman FC. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Sabah yang menewaskan Kedah 4-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas sebentar tadi.

Di awal permainan, Sabah dilihat lebih agresif dengan hantaran-hantaran ke hadapan namun berjaya dipatahkan pertahanan Kedah.

Pada minit ke-6, Ariff Farhan mencuba melalui rembatan jarak jauh namun rembatan yang mengelirukan itu berjaya diselamatkan Khairul Fahmi di gawang Sabah.

Advertisements

Taiki Kagayama mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-13 namun tandukan pemain Jepun itu tersasar selepas menerima hantaran dari Ummareng.

Pemain tengah Sabah yang juga merupakan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar melepaskan rembatan deras pada minit ke-14 namun rembatannya tidak menepati sasaran.

Sabah dilihat lebih agresif dengan beberapa gerak serangan namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang.

Advertisements

Pada minit ke-38, Syafiq Ahmad berpeluang untuk menjaringkan gol melalui sepakan percuma namun sepakannya melambung tinggi.

Baddrol sekali lagi berpeluang untuk menjaringkan gol pada minit ke-43 namun rembatan beliau berjaya diselamatkan Ifwat Akmal.

Kedua-dua pasukan buntu untuk mencari jaringan dan separuh masa pertama ditamatkan dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Advertisements

Bersambung babak kedua, pasukan Kedah dilihat selesa bertukar-tukar hantaran pendek dengan pasukan Sabah kadang kala melakukan serangan balas.

Hasil satu serangan balas, Amri Yahyah akhirnya berjaya meledak gol buat Sabah melalui rembatan deras pada minit ke-51. Rembatan menarik tersebut terus mematikan langkah Ilham Amirullah di gawang Kedah. Sabah mendahului Kedah 1-0.

Sabah hampir menggandakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-53 selepas Amri Yahyah dijatuhkan Rodney Celvin. Namun sepakan penalti yang diambil Baddrol berjaya diselamatkan penjaga gol Kedah.

Advertisements

Sabah tidak menunggu lama untuk menggandakan jaringan apabila Park Tae-su berjaya menjaringkan gol melalui sepakan percuma jarak jauh pada minit ke-55. Rembatan tersebut hampir diselamatkan Ilham di gawang Kedah namun lantunan bola di hadapan gol menyukarkan Ilham untuk menyelamatkan rembatan tersebut.

Benteng Kedah semakin hilang fokus dan serangan Sabah sekali lagi membuahkan hasil apabila Amri Yahyah sekali lagi meledak melalui rembatan deras pada minit ke-61. Gol tersebut dijaringkan hasil umpanan baik dari Saddil Ramdani. Sabah kini jauh dihadapan meninggalkan Kedah 3-0.

Serangan Sabah tidak terhenti di situ sahaja dan terus melakukan gerak serangan melalui pemain-pemain lincah mereka iaitu Saddil Ramdani dan Taiki Kagayama. Namun gerakan mereka berjaya dipatahkan pemain Kedah.

Amri Yahyah akhirnya meledak hatrik pada minit ke-71 melalui satu sepakan cip yang sekaligus ‘melemaskan’ penjaga gol Kedah, Ilham Amirullah sekaligus menjadikan kedudukan berubah menjadi 4-0.

Selepas gol tersebut terhasil, pasukan Kedah menggandakan usaha untuk merapatkan kedudukan namun kecemerlangan benteng pertahanan Sabah dan Khairul Fahmi selaku penjaga gol menunjukkan prestasi terbaik untuk menggagalkan setiap serangan dari pasukan Kedah.

Perlawanan ditamatkan tanpa tambahan jaringan yang berjaya dihasilkan dan kedudukan kekal memihak pasukan Sabah yang berjaya membenam Kedah dengan jaringan 4-0.

Kemenangan besar ini sekali gus melonjakkan kedudukan Sabah dalam carta Liga Super dengan mereka kini berada di tangga kedua liga. Sabah berkongsi 12 mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga pasukan yang berada di tangga ketiga iaitu pasukan Kedah.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram