Hasrat Sabah FC untuk menamatkan kedudukan Liga Super dalam kedudukan tiga teratas menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) dalam aksi di Stadium Likas sebentar tadi.
Perlawanan dimulakan dengan tuan rumah bermula garang menerusi beberapa serangan di awal permainan.
Hasil serangan demi serangan, Sabah berjaya mendahului seawal minit ke-7 melalui satu penyudah menarik dari Irfan Fazail yang mengelirukan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz. Sabah di hadapan 1-0.
Kedah dilihat berdepan kesukaran untuk membina serangan dan acap kali kehilangan penguasaan bola dengan cepat.
Sabah hampir menambah jaringan pada minit ke-26 melalui sepakan percuma Saddil Ramdani namun berjaya ditepis Kalamullah.
Ketidakmenjadian corak permainan Kedah akhirnya dihukum sekali lagi. Kali ini Ramon Machado mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-42 selepas penyerang dari Brazil itu membuat percubaan susulan selepas percubaan awal Irfan Fazail terkena tiang.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sabah terus mempamerkan penguasaan dengan variasi hantaran pendek dan jauh yang tepat.
Kedah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-55 melalui rembatan Manuel Ott dari luar kotak penalti namun mudah diselamatkan Khairul Fahmi di gawang Sabah.
Penguasan bola menjadi milik Kedah selepas 60 minit perlawanan berlangsung namun begitu tiada percubaan merbahaya mampu dihasilkan.
Daniel Ting turut berpeluang untuk mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-87 namun rembatan deras kaki kirinya melambung tinggi.
Kedudukan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan sekali gus menghadiahkan tiga mata buat Sabah dan berjaya memintas kedudukan Kedah di tangga ketiga liga. Manakala Kedah terpaksa akur menamatkan saingan liga di tangga keempat.