Selangor FC terpaksa bekerja keras sebelum merekodkan kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi terbaru Liga Super.
Selangor mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Terengganu FC 6-4 secara agregat dalam aksi separuh akhir Piala FA 2024. Sementara Kelantan DN pula mahu bangkit selepas tewas 3-0 kepada Penang FC.
Penyerang muda Jordan, Reziq Bani Hani diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama Selangor buat kali pertama. Sementara Valdumar Augusto Te mengetuai jentera serangan Kijang Emas.
Separuh masa pertama menyaksikan Merah Kuning berdepan kesukaran menembusi kubu pertahanan pelawat meskipun beraksi di Stadium MBPJ.
Ini disebabkan pendekatan corak permainan berdisiplin yang ditampilkan anak buah Park Jae-hong dalam mengekang jentera serangan Selangor diketuai Reziq dan Ronnie Fernandez.
Ini dibuktikan menerusi statistik separuh masa pertama di mana daripada lapan percubaan ke arah gawang Kelantan DN, hanya dua saja yang menguji kecekapan penjaga gol, Khatul Anwar Md Jalil.
Percubaan terbaik Selangor hadir pada minit ke-45 apabila Reziq menghantar bola mengelirukan dalam kotak penalti. Malangnya, bola tersebut gagal ditolak Fernandez ke dalam gawang.
Selangor terus berusaha menguji gawang Kijang Emas yang dikawal Khatul Anwar tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, pengendali Merah Kuning, Nidzam Jamil memasukkan Noaa Laine dan Alvin Fortes untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Yohandry Orozco hampir memecah kebuntuan pada minit ke-60 menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti. Malangnya, sepakan tersebut terkena bahagian tepi gawang Kijang Emas.
Valdumar hampir mencipta gol sulung bersama Kelantan DN seminit selepas itu tetapi percubaannya dinafikan Sam Somerville.
Gol yang dicari-cari tuan rumah akhirnya hadir pada minit ke-64 menerusi Fernandez. Sepakan sudut Orozco mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Kijang Emas sebelum bola mudah ditolak Fernandez ke dalam jaring.
Selangor kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Munir Mohd Izam. Ini selepas pegawai sistem bantuan video pengadil (VAR), Suhaizi Shukri mengesan kekasaran ke atas Fernandez dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan penyerang Chile itu pada minit ke-85. Dan penyokong Merah Kuning makin ceria apabila Faisal Halim masuk sebagai pemain gantian menggantikan Reziq.
Faisal hampir mencipta jaringan pada minit ke-87 menerusi tandukan ke arah gawang Kijang Emas. Khatul Anwar bernasib baik kerana tandukan pemain sayap kebangsaan itu terkena palang.
Selangor terus berusaha menambah kelebihan jaringan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Selangor terus menghambat Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dengan 16 mata.
Selepas ini, Merah Kuning bakal berdepan Sabah FC pada 13 Ogos ini. Sementara Kelantan DN pula berdepan Kuching City FC pada 17 Ogos ini.