Liga Super : Selangor FC Pamer Taring, Rembatan “Afro” Belasah UITM
Dunia
Instagram; @selangorfc
Advertisements

Misi meraih kemenangan di laman sendiri tercapai apabila Selangor FC berjaya menundukkan UITM FC, pada aksi Liga Super ke-17 di  Stadium MBPJ, Kelana Jaya. 

Selangor FC yang dilihat tempang apabila turun tanpa beberapa pemain utama seperti Safuwan Baharudin, Tim Heubach, Brendan Gan, Mukhairi Ajmal dan Aliff Haiqal akibat kecederaan dilihat tidak memiliki sebarang masalah apabila berjaya menumbangkan UITM FC 2-0.

Selangor FC memperoleh jaringan pertama menerusi pertahanan muda mereka Sharul Nazeem yang bijak menyambut hantaran Oliver Buff. Bekas kapten pasukan Selangor 2 itu mencetak jaringan sulungnya dalam saingan Liga Super melalui sepakan deras yang menghasilkan jaringan pada minit ke-24 perlawanan. 

Advertisements

Sebelum babak pertama perlawanan tamat, UITM FC memiliki peluang terbaik apabila gelecekan Joel Vinicius berjaya memperdaya pertahanan pasukan Selangor FC namun Khairul Azhan Khalid tangkas meluru keluar menangkap bola sebelum rembatan dilepaskan.

Separuh masa pertama tamat dengan keputusan Selangor FC 1-0 UITM FC.

Menjelang sepuluh minit awal pada separuh masa kedua, beberapa serangan dibentuk Selangor FC menerusi penyerang berbisa mereka Ifedayo Ilesugon namun percubaan-percubaan Ifedayo gagal mencipta jaringan selepas diselamatkan penjaga gol UITM FC, Zamir Selamat.

Advertisements

Peluang tercipta buat UITM FC pada minit ke-51 apabila Sean Gan memiliki ruang yang baik untuk melepaskan sepakan namun sekali lagi penjaga gol Selangor FC, Khairul Azhan meluru keluar menghadang sepakan tersebut.

Percaturan pengendali berdarah Germany, Karsten Neitzel akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-57 apabila hantaran daripada Hein Htet Aung, berjaya disudahkan penjaring terbanyak Selangor FC, Ifedayo Ilesugon. Gol tersebut megukuhkan kedudukan Selangor FC dengan mendahului UITM FC 2-0.

Gol itu juga menyaksikan Ifedayo kini merekodkan sebanyak 17 jaringan gol daripada 17 perlawanan, berkongsi selaku penjaring terbanyak liga bersama penyerang JDT, Bergson da Silva.

Advertisements

Kemasukan Danial Asri dan Sean Selvaraj pada minit ke-70 perlawanan sedikit sebanyak membantu pasukan Selangor FC mencorak asakan bertali arus ke kubu pasukan pelawat. Pada minit ke-84, pasukan pelawat sekali lagi memiliki peluang terbaik mereka menerusi gerakan cantik pemain tengah UITM FC. Namun rembatan susulan kapten pasukan UITM FC, Victor Nirennold dihalang kemas Khairul Azhan Khalid.

Empat minit masa tambahan yang diberikan pengadil tidak merubah keputusan. Selangor FC berjaya meraih tiga mata penuh sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka di carta liga. Perlawanan tamat Selangor FC 2-0 UITM FC.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram