Advertisement

Follow us:

Lim Teong Kim Kini Bergelar Datuk

Lim Teong Kim Berita RTM Lim Teong Kim Kini Bergelar Datuk
Berita RTM
Azim Noor
@mohdazim45
1:25pm 01/02/2023
Pivo

Jurulatih Perak, Lim Teong Kim mendapat satu lagi pengiktirafan untuk jasa dan kepakarannya dalam dunia bola sepak. Beliau menerima darjah kehormat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) bersempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pengurniaan anugerah tersebut disampaikan oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Dengan darjah kehormat tersebut, Teong Kim kini bergelar Datuk.

Bekas pemain tengah Kuala Lumpur dan Harimau Malaya itu menerima anugerah berkenaan atas jasanya kepada pembangunan akar umbi bola sepak tanah air.

Selepas menggantung but, Teong Kim dikenali sebagai jurulatih pasukan remaja Bayern Munich dari 2001 hingga 2013. Semasa tempoh itu, beliau bertanggungjawab mengasah bakat pemain-pemain seperti Toni Kroos dan bekas kapten Bayern, Philip Lahm.

Selepas lama berkelana di Jerman, Teong Kim pulang ke Malaysia dan memegang peranan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD). AMD bertanggungjawab melahirkan ramai pemain muda negara berbakat di bawah bimbingannya.

Setelah itu, beliau menerima tawaran sebagai jurulatih pasukan Perak, jawatan yang digalas sejak pertengahan tahun lepas.

Ramai penyokong Perak berharap berita gembira ini dapat menjadi tonik buat skuad The Bos Gaurus melakar pencapaian lebih baik dalam Liga Super musim ini. Perak bakal memulakan saingan Liga Super dengan melayan kunjungan Kedah pada 25 Februari.