Lionel Messi ‘Tabik’ Cape Verde
MakanBola
Seleccion Argentina

Lionel Messi mengakui kagum dengan persembahan hebat yang ditampilkan Cape Verde dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.

Argentina selaku juara bertahan dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Cape Verde 3-2 dalam masa tambahan. Meskipun tewas, anak buah Bubista menunjukkan semangat juang yang tinggi di atas padang.

Messi sudah menjangkakan bahawa pasukan Afrika itu akan memberi tentangan sengit kepada La Albiceleste di atas padang. Ini terbukti apabila mereka berjaya mengikat Sepanyol dan Uruguay di peringkat kumpulan.

“Kita tahu ini akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Bukan kebetulan bahawa pasukan itu dapat mengelak tewas di tangan Sepanyol dan Uruguay.

“Ini perlawanan kalah mati, tiada siapa yang mahu memberi (kemenangan) secara percuma,” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.

Messi turut melihat prestasi Cape Verde sebagai bukti bahawa pasukan itu tidak boleh dipandang remeh di peringkat antarabangsa. Ini kerana pada hematnya, aksi sebegini yang menjadikan Piala Dunia lebih istimewa.

“Sesetengah orang memandang rendah sesetengah pasukan tetapi kita tahu ini tidak akan menjadi perlawanan mudah,” katanya.

“Ini yang menjadikan Piala Dunia kali ini lebih istimewa. Semuanya lebih sengit dan setiap perlawanan yang diharungi sangat sukar.”

Argentina bakal bertemu Mesir di pusingan 16 pasukan terbaik. Mesir mara selepas menyingkirkan Australia menerusi penentuan sepakan penalti.