Bekas pemain tengah kebangsaan, Liridon Krasniqi menyatakan hasrat untuk kembali ke Malaysia.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik Liridon di laman IG Story, pemain berusia 32 tahun itu mengucapkan selamat hari lahir kepada seorang kanak-kanak bernama Ayyash yang baru sahaja mencecah usia lapan tahun.
Liridon menyatakan bahawa angka lapan itu menjadi nombor kegemarannya ketika menyarung jersi pasukan Kedah.
“Selamat hari lahir Ayyash, saya doakan yang terbaik buat kamu dan keluarga. Ulang tahun yang kelapan, nombor kegemaran saya ketika di Kedah.”
Pemain yang mesra dengan jolokan Matdon itu juga memberitahu bahawa beliau akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi. Namun Liridon tidak nyatakan secara spesifik kehadiran beliau ke Malaysia itu nanti untuk kembali bermain bola sepak atau tidak.
“Saya akan kembali insyaAllah, nanti kita boleh bermain bersama,” tulis Liridon.

Liridon Krasniqi meninggalkan Terengganu selepas mengharungi musim yang baik bersama Skuad Peteh. Aksi terakhir beliau di Malaysia adalah pada final Piala Malaysia 2023 ketika Terengganu menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada bulan Jun lalu, Matdon mendedahkan bahawa beliau hampir menyertai skuad Sang Kenari namun disebabkan masalah tertentu perpindahan itu tidak tercapai. Pemain naturalisasi negara ini juga tak tolak kemungkinan untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
“Sudah tentu (saya mahu kembali mewakili skuad kebangsaan). Saya akan kembali dalam masa terdekat, Insya Allah,” ujar Liridon.