Bekas pemain tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi mengakui memiliki keinginan untuk kembali mewakili Harimau Malaya.
Perkara ini dinyatakan sendiri pemain berusia 32 tahun itu dalam sesi soal jawab bersama peminat di Instagram Story baru-baru ini.
“Sudah tentu (saya mahu kembali mewakili skuad kebangsaan). Saya akan kembali dalam masa terdekat, Insya Allah,” katanya.
Ketika ini, Liridon berstatus ejen bebas selepas tidak lagi bersama skuad Peteh pada akhir musim 2023.
Musim tersebut menyaksikan beliau tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Liridon membantu pasukan itu mara ke final Piala Malaysia 2023.
Bagi membantu mengekalkan kecergasan beliau, Liridon turut aktif beraksi dalam saingan Ballers League di Jerman dengan mewakili Gonrgy All Stars.
Selain Terengganu, beliau juga pernah beraksi untuk JDT, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Khon Kaen United, Odisha FC, Newcastle Jets, Melaka United dan Mlada Boleslav.
Selepas statusnya sebagai pemain naturalisasi disahkan pada 2020, Liridon merekodkan enam penampilan dan satu gol bersama Harimau Malaya.
Semasa tetingkap perpindahan pertama Liga Super 2024, beliau pernah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) termasuk pasukan lamanya, Kedah.