Aksi separuh akhir Indonesia Masters 2024 untuk acara beregu lelaki sedikit panas gara-gara tindakan pemain beregu China, Liu Yu Chen.
Ini selepas pemain beregu lelaki nombor lapan dunia itu menghempaskan raketnya ke gelanggang selepas tamat perlawanan menentang regu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Yuchen dipercayai berbuat demikian kerana kecewa dengan prestasi regunya, Ou Xuanyi. Xuanyi dilihat bergelut membalas setiap pukulan regu keempat dunia itu.
Astrup-Rasmussen kemudiannya berjaya menewaskan regu China itu dengan keputusan 21-14, 21-19.
Tatkala juara Arctic Open 2023 itu meraikan kemenangan mereka, Yuchen membaling raketnya ke gelanggang. Ini mengakibatkan raketnya remuk sebelum ia diambil semula.
Tindakan ini mengakibatkan pengadil tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kepada Yuchen sebagai amaran kepada pemain berusia 28 tahun itu.
Insiden ini dikesan oleh pengguna X, irene agustine menerusi satu hantaran video yang dimuatnaik di laman media sosial itu semalam.
Astrup-Rasmussen yang juga pilihan kedua kejohanan bakal berhadapan regu tuan rumah, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dalam aksi final Indonesia Masters 2024.