Machan Ucap Selamat Tinggal Kepada Liga A1 Semi Pro
MakanBola
Machan FC

Wakil Borneo, Machan FC sah mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga A1 Semi Pro.

Pengumuman penarikan diri ini dibuat oleh Presiden Machan FC, Azizi Fauzi menerusi satu hantaran di Facebook rasmi pasukan disebabkan oleh kekangan dana yang dihadapi kelab dari Sarawak itu.

Ad

“Oleh kerana kekangan dana yang dihadapi oleh Kelab Machan FC disamping kos penerbangan yang semakin meningkat naik, dengan ini Machan FC mengumumkan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia.”

Ad

Beliau turut menjelaskan situasi semasa kelab yang terpaksa bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang menyertai liga ini selain akur dengan penolakan permohonan untuk mendapatkan dana.

“Seperti semua sedia maklum, Machan FC telah bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi Pro berlangsung.”

Ad

“Kita juga telah mencuba untuk memohon dana daripada Kementerian Belia dan Sukan Sarawak namun akur dengan jawapan Menteri yang bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang dilihat sebagai Semi Pro.”

Ad

“Setelah 12 perlawanan dan hampir 6 bulan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro, pihak pengurusan Machan FC telah berbelanja hampir RM800,000 duit sendiri,”

Ad

“Kos (tersebut hanya) untuk pengangkutan sahaja, sekali aksi di laman lawan mencecah RM35,000 sekaligus membebankan perjalanan kelab.”

“Pihak kelab bertanggungjawab penuh diatas apa yang berlaku tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak serta memohon maaf kepada semua pemain.”

Di akhir hantaran tersebut, Azizi Fauzi sempat meluahkan penghargaan dan terima kasih buat semua pihak yang telah menyokong Machan FC selama penyertaan mereka dalam saingan Liga A1.

“Saya selaku Presiden Machan FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amateur Football League, Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak dan Sarawak Sports Corporation kerana membantu kami menyediakan Venue sepanjang Liga berlangsung.”

“Terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyokong perjuangan pasukan dan saya akur dan redha yang kita perlu berdamai dengan Takdir. Sekian Terima kasih.”