Kelab Liga A1 Semi-Pro, Machan FC menerima suntikan semangat apabila mendapat tajaan lima angka daripada dua entiti korporat.
Entiti tersebut ialah OBYU dan Bina Puri Sdn Bhd. Nilai tajaan yang diterima pasukan yang berpangkalan di Sarawak itu bernilai RM17,000,
Pengurusan Machan menyifatkan tajaan daripada dua syarikat berkenaan cukup bermakna. Ini kerana ini akan membantu perjuangan pasukan itu dalam saingan Liga A1.
“Terima kasih Syarikat OBYU dan Syarikat Bina Puri Sdn Bhd kerana sudi memberikan sumbangan kepada kelab Machan FC. Sumbangan RM 17,000 daripada dua syarikat ini amat besar nilainya kepada kelab Machan FC,” kata kelab dalam satu kenyataan di Facebook.
Selain suntikan kewangan, Machan juga menerima berita baik apabila permohonan mereka untuk menukar gelanggang sendiri untuk saingan liga mendapat kelulusan Liga Bola Sepak Amatur (AFL).
Sebelum ini, kebanyakan aksi Liga A1 membabitkan Machan di Sarawak diadakan di Stadium Negeri, Kuching. Kini, mereka akan menggunakan Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya sebagai gelanggang tempat sendiri yang baru.
“Terima kasih juga kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak dan Sarawak Sports Corporation kerana memudahkan urusan pasukan Machan FC untuk menukar venue home ke Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya,” ujarnya.
Machan bakal menggunakan stadium itu buat kali pertama untuk aksi liga menentang Bunga Raya Damansara (BR Damansara) pada 7 September ini.
Dua berita ini dijangka menambah semangat Machan untuk menghadapi saingan Armed Forces FC pada 23 Ogos ini. Pasukan itu mahu bangkit selepas tewas kepada Gombak FC dalam aksi liga sebelumnya.