Kelab Liga A1-Semi Pro, Bunga Raya Damansara (BR Damansara) mengorak langkah tersendiri dengan menjalin kerjasama dengan jenama ‘streetwear’ tempatan, For Those Who Love (FTWL).
Jalinan kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha pengurusan pasukan yang berpangkalan di Damansara itu untuk membawa norma berbeza sebagai sebuah kelab bola sepak.
Kolaborasi bersama FTWL disifatkan satu langkah berani buat BR Damansara. Ini kerana langkah tersebut bukan saja mendorong kelab Liga A1 itu untuk menceburi dunia fesyen.
Malah, pada masa sama, kolaborasi ini dijangka membantu BR Damansara memperkukuh kedudukan kewangan mereka dari segi pendapatan komersial.
Kolaborasi BR Damansara-FTWL membawa kepada produk pertama mereka ialah baju kemeja-T yang dipanggil Mekar Tee.
Baju ini menggunakan warna hitam sebagai warna utama. Sementara warna merah jambu dan putih pula digunakan pada perkataan dan logo kelab.
Nama singkatan BR Damansara diletakkan pada bahagian hadapan kemeja. Manakala perkataan jenama FTWL kelihatan menonjol sambil dihiasi logo bunga raya berwarna merah jambu.
Baju kemeja ini digunakan BR Damansara buat kali pertama semasa tiba untuk aksi terbaru Liga A1 dengan KL Rovers FC pada 18 Ogos lalu.
Barisan pemain dan staf kejurulatihan termasuk jurulatih, Federico Ezequiel Fernandez kelihatan segak masuk ke stadium sambil mengenakan kemeja berkenaan.
Bagi peminat bola sepak yang ingin kelihatan bergaya dengan kemeja berkenaan, mereka boleh mendapatkannya di laman sesawang rasmi FTWL.
BR Damansara bukan satu-satunya kelab di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan jenama dunia fesyen. Terdahulu, kelab Liga Super, Selangor FC menjalin kolaborasi dengan jenama fesyen, SVG Worldwide.