Machan FC terus memperkukuh pasukan dengan membawa masuk tujuh pemain muda daripada pasukan Sarawak yang beraksi di SUKMA 2024.
Pengumuman ini dibuat pengurusan pasukan itu selepas selesai mengadakan sesi pemilihan pemain secara tertutup di Kompleks Sukan Kanowit pada 24 dan 25 Ogos lalu.
“Pada 24 dan 25 Ogos lalu, satu pemilihan tertutup diadakan di Kompleks Stadium Kanowit. Hasil daripada pemilihan tersebut pihak jurulatih dan pengurusan telah mengambil keputusan untuk mengambil pemain yang berumur bawah 22 tahun untuk diserap masuk ke pasukan Machan FC.
“Tahniah kepada tujuh bekas pemain SUKMA Sarawak 2024 kerana terpilih untuk menyertai pasukan Machan FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pemilihan tujuh pemain ini dilihat dapat menambah kekuatan Machan dari segi bilangan pemain terutama pemain di bangku simpanan.
Pendekatan kelab yang berpangkalan di Sarawak itu patut dipuji kerana bersedia memberi peluang kepada pemain muda beraksi dalam saingan Liga A1.
Machan turut mendedahkan ada beberapa bekas pemain yang ingin mewakili pasukan itu. Walau bagaimanapun, pengurusan pasukan menolak dengan baik permohonan mereka.
Ini kerana Machan bukan saja mengambil kira faktor usia pemain. Malah, keutamaan kelab ketika ini ialah melahirkan lebih ramai pemain muda terutama dari Sarawak untuk mewarnai arena bola sepak negara.
“Ada banyak permintaan daripada bekas pemain untuk menyertai pasukan Machan FC, tetapi atas faktor usia dan seiring dengan misi dan visi kelab, kita bertindak untuk mengambil pemain muda agar Pasukan Machan FC untuk dijadikan platform untuk pemain muda tempatan pergi lebih jauh dalam arena bola sepak Malaysia,” tambahnya.
Sebaik pengumuman ini dibuat, ramai peminat Machan menyambut baik langkah yang dilakukan pengurusan pasukan. Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna Facebook bernama Nur Misuari.
Misuari mengucapkan tahniah kepada Machan kerana sedia memberi ruang kepada bakat-bakat muda beraksi di atas padang.
Dia percaya kehadiran ramai pemain dijangka mendorong persaingan sihat antara pemain. Persaingan ini sekaligus membantu Machan menjadi lebih baik di atas padang.
“Tahniah pengurusan Machan FC. Semoga dengan adanya ramai pemain, ada persaingan sihat antara mereka. Baru ada peningkatan,” katanya di ruang komen Facebook pasukan itu.
Sentimen itu turut dipersetujui seorang lagi penyokong bernama Cb Bireh. “Tahniah Machan FC. Semoga satu hari nanti akan ada bakat baru tercipta,” ujarnya.
Machan bakal berdepan Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara) untuk aksi Liga A1 Semi-Pro seterusnya pada 7 September. Mereka akan beraksi di stadium baru iaitu Stadium Azman Hashim, Sibu.