Malaysia berpeluang menghantar pasukan bola sepak beraksi dalam temasya Sukan Asia 2026.
Sebelum ini, tuan rumah Sukan Asia, Jepun menyarankan hanya pasukan yang layak ke Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2026 dan Piala Asia Wanita 2026 untuk beraksi dalam temasya itu.
Sekiranya saranan itu diterima, hanya 16 pasukan B-23 dan 12 pasukan wanita saja yang akan beraksi dalam Sukan Asia 2026.
Kini, ASEAN Football melaporkan saranan Negara Matahari Terbit itu telah ditolak oleh Majlis Olimpik Asia (OCA). Ini selepas beberapa negara ahli majlis tersebut mengemukakan bantahan keras terhadap cadangan itu.
Ini membuka ruang kepada semua negara ahli OCA termasuk Malaysia untuk menghantar pasukan beraksi dalam temasya kali ini.
Kali terakhir skuad Malaysia B-23 beraksi di Sukan Asia ialah edisi 2018 di Indonesia. Pasukan negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee pada ketika itu berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.