Skuad Malaysia kendalian Kim Pan-gon kini berpeluang untuk mencatatkan rekod baharu ketika perlawanan pertama Piala Asia 2023 menentang Jordan pada 16 Januari ini.
Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi perlawanan-perlawanan terdahulu menentang Jordan. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2021 dengan menyaksikan Jordan menang besar 4-1.
Kekalahan tersbebut merupakan kekalahan terbesar Malaysia di tangan Jordan dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.
Hasil tinjauan di laman 11vs11, keputusan terbaik yang dicapai Malaysia ketika bertemu Jordan adalah pada September 2009 di mana kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.
Peluang Malaysia itu mungkin bakal menjadi kenyataan jika prestasi semasa Jordan diambil kira. Jordan gagal mencapai kemenangan dalam tujuh aksi antarabangsa terkini mereka.
Persiapan Jordan ke Piala Asia juga tercalar apabila mereka tewas mengejut kepada pasukan yang berada di ranking ke-107 dunia, Lubnan baru-baru ini.
Kekalahan tersebut juga telah mencetuskan kebimbangan buat para penyokong Jordan menjelang aksi pertama Piala Asia berdepan Malaysia. Rata-rata penyokong gusar jika perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri.
Selepas aksi Jordan, Malaysia dijadualkan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup aksi kumpulan dengan perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.