Malaysia Dilabel Lebih Bagus Berbanding Indonesia
MakanBola
FAM/Timnas Indonesia

Malaysia telah dilabel lebih bagus berbanding Indonesia susulan kemenangan bergaya Malaysia ke atas Vietnam dengan jaringan 4-0 dalam Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.

Pendapat tersebut disuarakan pundit terkenal Vietnam, Quang Huy, tampil meluahkan rasa terkejut selepas menyaksikan negaranya ditewaskan dengan jaringan besar oleh Malaysia.

Malah Quang Huy turut membayangkan bahawa jika Malaysia bertemu Indonesia, Indonesia juga tidak mampu memberi saingan buat Malaysia yang dianggap kini sudah semakin kuat.

“Saya benar-benar tidak boleh jangka pasukan saya (Vietnam) akan kalah seteruk ini (kepada Malaysia). Kalau Malaysia bertemu Indonesia sekarang, saya rasa Indonesia pun tak mampu bersaing,” jelas Quang Huy seperti dipetik inilahcom di laman X.

Menurut Quang Huy, skuad kendalian Peter Cklamovski itu kini bukan lagi pasukan ‘biasa-biasa’ Asia Tenggara. Malah, kehadiran pemain warisan dari Argentina, Brazil, dan Sepanyol menjadikan Malaysia satu pasukan berkelas tinggi di rantau ini.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh isu proses naturalisasi besar-besaran yang melibatkan beberapa negara di rantau Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Indonesia. Menurutnya, terdapat kekeliruan dan persoalan tentang latar belakang pemain-pemain import ini dari sudut integriti dan peraturan FIFA.

Namun, bagi Malaysia hasilnya sudah nyata. Prestasi di atas padang membuktikan strategi naturalisasi yang tersusun semakin membuahkan hasil.

Kemenangan besar ke atas Vietnam bukan sahaja menaikkan moral Harimau Malaya, tetapi juga mengubah persepsi bola sepak serantau. Bila pundit Vietnam sendiri sudah angkat bendera putih, itu tandanya Malaysia benar-benar berada di landasan yang betul.