Pertembungan hangat melibatkan empat pasukan gergasi tanah air bakal disajikan dalam aksi separuh akhir Malaysia Futsal Cup (MFC).
Empat pasukan sudah mengesahkan tempat di separuh akhir setelah menyingkirkan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir yang telah berlangsung bermula 7 September yang lalu.
Juara bertahan, Pahang Rangers antara pasukan yang mara meskipun dipaksa bekerja keras sebelum menghantar Kedah pulang dengan kekecewaan setelah mencatat kemenagan agregat 9-6.
Tiga gol daripada Guntur Ariwibowo, Felipe De Souza dan Iqhmal Najmi di masa tambahan membawa skuad kendalian Luis Fonseca mara ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut.
Kelab Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) turut tidak melepaskan peluang untuk menyambar tiket ke pusingan seterusnya berbekalkan status selaku juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024.
Bertemu Sabah di suku akhir, JDT di bawah kendalian Miguel Garcia tidak berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan dalam kedua-dua aksi ke atas wakil Borneo itu dengan keputusan agregat 11-5.
Pasukan ke-3 yang juga melepasi halangan suku akhir adalah naib juara MPFL musim ini, Selangor yang tewaskan Gombak TOT menerusi gandingan mantap Syahir Iqbal, Gabriel Rosa dan Wellington Pereira.
Trio merbahaya ini menjadi sandaran utama ketua jurulatih Selangor, Edgar Baldasso untuk merobek kubu gol lawan menjadi harapan untuk membawa The Red Giants mara ke final.
KL City menjadi pasukan keempat yang mengiringi tiga lagi jaguh untuk melayakkan diri ke separuh akhir MFC setelah mencipta kejutan menewaskan Shah Alam City dengan agregat 8-7.
Bermula dari pusingan play-off, KL City mengorak langkah untuk memberikan aksi yang terbaik setelah mengharungi kempen MPFL yang memilukan apabila berada di tangga tercorot.
Separuh akhir MFC menyaksikan KL City akan bertemu juara MPFL yang juga finalis musim lalu, JDT manakala Pahang Rangers akan berentap bersama Selangor untuk menempah tiket ke final.