Pemain muda Selangor, Syahir Iqbal Khan mendedahkan pernah mendapat tawaran dari kelab luar negara.
Nama Syahir dalam arena futsal mula menyinar pada 2023 setelah mempamerkan aksi cemerlang bersama The Red Giants sehingga mendapat panggilan untuk menyertai kem kebangsaan.
Menurut Syahir, sasaran peribadinya adalah beraksi di liga luar negara di sekitar Asia Tenggara dan memasang impian untuk menyarung jersi kelab gergasi Thailand, Black Pearl.
“Sasaran Syahir nak main di luar (negara), di liga Thailand atau Indonesia. Bila dah tercapai sasaran itu, Syahir dah lega,” ujar Syahir di dalam sesi audio siar Borak Futsal.
”Mungkin kalau di liga Thailand, Black Pearl.”
Anak jati Kota Bharu ini juga mendedahkan bahawa beliau pernah ditawarkan peluang untuk beraksi bersama kelab luar namun terpaksa ditolak kerana belum bersedia.
”In shaa Allah, tengoklah macam mana sebab sebelum ini pun ada tawaran dari kelab luar, jadi mungkin Syahir tak bersedia lagi masa itu,”
Walau bagaimanapun, pemain berusia 19 tahun ini tidak menolak untuk menerima sebarang peluang dari kelab luar negara di masa hadapan dan menyatakan fokusnya untuk Selangor kini.
”Tapi sekarang, jika ada tawaran (dari kelab luar) lagi pada masa akan datang, mungkin Syahir akan pergi,” katanya yang kini sudah meledak 11 jaringan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL).
”Ada tu ada (tawaran dari kelab Malaysia) tapi saya nak kekal bersama Selangor.”
Syahir berjaya membantu skuad futsal Selangor muncul naib juara MPFL musim ini dengan mengutip 30 mata hasil 10 kemenangan meskipun masih berbaki satu lagi aksi liga.
Selangor futsal akan turun dalam aksi terakhir berdepan Sabah pada Ahad di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dengan sepak mula pada jam empat petang.