Malaysia Open: Dua Beregu Campuran Negara Lepasi Halangan Awal
UltraSukan
Sponsors

Dua pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See berjaya mara ke pusingan kedua Petronas Malaysia Open 2024.

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menjadi sandaran kem beregu campuran negara turun terlebih dahulu berdepan wakil Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue di gelanggang satu.

Ad

Di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bermula garang dengan beberapa pukulan smash tajam untuk mendahului lawan 11-6 di pertengahan permainan.

Ad

Beregu Perancis cuma meningkatkan tempo permainan namun keunggulan pasangan negara gagal disekat untuk memastikan set pertama menjadi milik beregu negara dengan keputusan 21-17.

Set kedua bermula menyaksikan Gicquel-Delrue terus tertekan dengan serangan bertali arus dari anak-anak buah Nova Widianto sekaligus mendahului selesa 11-3.

Ad

Kelebihan ini hampir memakan diri buat pasangan negara apabila beregu Perancis ini berjaya merapatkan kedudukan menjadi 14-16, namun ketenangan beregu negara di ranking kesembilan dunia itu memastikan set kedua turut menjadi milik mereka dengan keputusan 21-18.

Ad

Chan Peng Soon dan pasangannya, Cheah Yee See pula terpaksa berhempas pulas untuk menundukkan beregu Taiwan, Chang Ko-Chi dan Lee Chih Chen.

Ad

Set pertama menyaksikan beregu negara dilihat sering terperangkap dengan corak permainan lawan sehingga menyebabkan mereka ketinggalan jauh 6-12 dan akhirnya tumpas 11-21.

Bersambung set kedua, aksi sengit dipamerkan kedua-dua pasangan sehingga permainan diheret ke deuce, namun semangat juang tinggi beregu negara menamatkan set kedua dengan kemenangan 26-24.

Set penentuan, Peng Soon-Yee See terus garang memanfaatkan kesilapan-kesilapan lawan yang sudah kepenatan seterusnya menoktahkan kemenangan 21-8.

Di aksi seterusnya, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei bakal berhadapan pemenang di antara Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun atau beregu Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai.

Manakala Peng Soon-Yee See berdepan jaguh China di pusingan kedua.