Perseorangan utama wanita Malaysia, Goh Jin Wei mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Malaysia Open 2024.
Beliau yang menduduki ranking ke-31 dunia mengatasi cabaran perseorangan wanita dari Taiwan, Sung Shuo Yun di pusingan pertama hari ini.
Selepas berjaya mara ke separuh akhir Hong Kong Open pada tahun lepas, ramai peminat badminton mengharapkan Jin Wei tampil lebih cemerlang untuk tahun 2024.
Ini ditambah dengan modul latihan fizikal yang diperkenalkan jurulatih perseorangan wanita, Nova Armada yang banyak membantu ketahanan fizikal beliau.
Pertemuan Shuo Yun dan Jin Wei dilihat seimbang lebih-lebih lagi kedua-duanya hanya dipisahkan satu anak tangga dari segi ranking Persekutuan Badminton Sedunia (BWF).
Set pertama menyaksikan Jin Wei memanfaatkan setiap kesilapan yang dilakukan Shao Yun untuk mendahului pada kedudukan 11-4.
Perseorangan ke-30 dunia itu cuba memberi tentangan kepada beliau. Bagaimanapun, berbekalkan sokongan penyokong di Axiata Arena, Jin Wei meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Shuo Yun membuka ruang kepada anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mendahului pada kedudukan 12-6.
Dominasi itu dikekalkan sehingga ke akhirnya dengan Jin Wei menang dengan keputusan 21-11.
Pemain perseorangan ke-31 dunia itu bakal berdepan jaguh perseorangan wanita dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dalam pusingan kedua yang berlangsung esok.