Nur Izzudin Rumsani-Goh Sze Fei tiada masalah untuk menumbangkan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren pusingan pertama Petronas Malaysia Open 2024.
Permulaan positif dipamerkan Izzudin dan Sze Fei dengan variasi corak permainan dilakukan ke arah lawan untuk mendahului selesa 11-4.
Jomkoh-Kedren cuba bangkit mengejar selepas itu untuk memberi saingan namun pasangan negara terlalu unggul untuk menutup set pertama dengan kemenangan 21-17.
Set seterusnya, juara Abu Dhabi Masters 2023 itu dilihat sedikit bergelut dengan pasangan Thailand itu seakan sudah mendapat rentak permainan.
Namun, ketenangan yang dimiliki beregu negara berjaya dimanfaatkan untuk menoktahkan kemenangan 22-20 di set kedua sekaligus menghantar pulang wakil Thailand tersebut.
Dengan kemenangan ini, Izzudin dan Sze Fei akan layak ke pusingan kedua bertemu sama ada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark.