Advertisement
Malaysia Open: Langkah Ng Tze Yong Terhenti Awal, Ditewaskan Koki Watanabe
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki Malaysia Open 2024 berakhir hari ini.

Ini selepas perseorangan lelaki kedua negara, Ng Tze Yong terpaksa menarik diri semasa menentang pemain perseorangan Jepun, Koki Watanabe dalam pusingan pertama kejohanan.

Perlawanan hari ini dilihat medan terbaik buat pemain nombor 15 dunia itu membalas dendam selepas kalah kepada lawan sama di Japan Open pada Julai 2023.

Set pertama pada awalnya menyaksikan kedua-dua pemain bersaing sengit mendapatkan mata sehingga terikat pada kedudukan 8-8.

Bagaimanapun, Tze Yong merasa tidak selesa pada bahagian belakangnya pada kedudukan 9-8. Ini menyebabkan beliau terpaksa meminta pasukan perubatan memeriksa keadaan belakangnya.

Meskipun cedera, Tze Yong enggan menghampakan penyokong negara yang berada di Axiata Arena hari ini dan cuba meneruskan saingan.

Namun begitu, pada akhirnya, naib juara Arctic Open 2023 itu terpaksa akur keadaannya tidak mengizinkan beliau untuk terus berada di gelanggang. Ini membolehkan Watanabe mara dengan keputusan 12-8 selepas beraksi selama 12 minit.

Sekiranya Tze Yong pulih daripada kecederaan yang dialaminya, beliau berpeluang untuk kembali bersemuka dengan Watanabe di India Open 2024.

Kejohanan yang bakal berlangsung pada 16 Januari 2024 itu menyaksikan kedua-dua pemain kembali bersaing di pusingan pertama acara perseorangan lelaki.