Dua beregu negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Pearly Tan-Muralitharan mengalami dua nasib yang berbeza ketika turun beraksi di Petronas Malaysia Open 2024.
Turun beraksi di gelanggang dua, Goh Soon Huat dan pasangannya Shevon Lai berhasil menundukkan lawan dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs dalam aksi tiga set.
Pada aksi set pertama, gandingan negara mudah menamatkan permainan dengan keputusan 21-16 sebelum kecundang di set kedua 15-21.
Pada set penentuan, Soon Huat dan Shevon terpaksa bekerja keras untuk menumbangkan lawan bukan pilihan dari England itu dengan keputusan 21-17.
Walau bagaimanapun, nasib berbeza dialami beregu perempuan nombor satu negara, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan yang tunduk kepada pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Dalam pertarungan sengit itu, Pearly-Thinaah berjaya memberi saingan sengit di set pertama sebelum kecundang 20-22.
Di set kedua, beregu China terlalu unggul dengan pukulan-pukulan yang gagal dibalas oleh beregu negara. Akhirnya, Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kekalahan di set kedua 15-21.
Wakil negara yang mara akan meneruskan saingan di pusingan 16 terbaik Petronas Malaysia Open pada hari Khamis ini di Axiata Arena.