Beregu wanita negara, Anna Cheong dan Teoh Mei Xing terpaksa menelan kepahitan apabila tersingkir dari kejohanan Malaysia Open 2024.
Anna-Mei Xing yang menduduki ranking ke-64 dunia tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha-na dan Lee So-hee.
Selepas terpaksa berehat pada November lalu akibat kecederaan pada kaki kanan, Anna berharap dapat terus mendaki ranking dunia bersama Mei Xing.
Bagaimanapun, Ha-na-So-hee bukan calang-calang kerana mereka bukan saja regu wanita nombor dua dunia. Bahkan, mereka juga merupakan naib juara Malaysia Open edisi 2023.
Set pertama menyaksikan Anna-Mei Xing meraih pendahuluan awal pada kedudukan 3-1. Ha-na-So-hee kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan kepada 3-3.
Kesilapan Anna-Mei Xing terutama di jaring memberi ruang kepada regu utama wanita Korea Selatan itu mendahului pada kedudukan 11-8. Dan itu sudah cukup untuk mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-14.
Set kedua menyaksikan Ha-na dan So-hee semakin dominan di atas gelanggang. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Anna-Mei Xing menyaksikan mereka ketinggalan pada kedudukan 12-5.
Anna-Mei Xing cuba mengejar juara Indonesia Open 2023 itu. Bagaimanapun, Ha-na dan So-hee tetap unggul sebelum menang dengan keputusan 21-13.
Pilihan kedua kejohanan ini bakal bertemu sama ada regu Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam atau regu Jerman, Linda Efler-Isabel Lohau dalam pusingan kedua yang berlangsung esok.