Malaysia Open: Satu Wakil Negara Sah Ke Suku Akhir
UltraSukan
BA Malaysia

Saingan suku akhir Malaysia Open 2026 pada Jumaat ini sudah pasti memiliki sekurang-kurangnya satu wakil dari negara.

Hal ini setelah dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bakal bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua Malaysia Open Khamis ini.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun membawa status juara dunia 2025 memulakan aksi di Malaysia Open dengan penuh bergaya apabila berjaya menjinakkan beregu Indonesia pada Selasa.

Hanya 39 minit sahaja diperlukan oleh Tang Jie-Ee Wei untuk melangkah ke pusingan kedua selepas mengatasi tentangan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia 21-12, 21-17.

Manakala, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin pula melakar kejutan besar selepas menyingkirkan pasangan ke-12 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam pertarungan epik selama 72 minit.

Beregu negara tumpas di set pertama sebelum bangkit pada dua set berikutnya bagi memusnahkan hajat lawan sekaligus membawa Pang Ron-Su Yin ke pusingan kedua dan bertemu rakan senegara.

Pertemuan kedua-dua beregu campuran negara di pusingan kedua ini akan menyaksikan satu slot di peringkat suku akhir sah bakal menjadi milik wakil Malaysia pada Jumaat hadapan.

Untuk rekod, ini akan menjadi pertemuan ke-4 melibatkan kedua-dua pasangan negara ini dengan 3 perlawanan lalu kesemuanya dimenangi oleh Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Sementara, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula akan berdepan cabaran Presley Smith-Jennie Gai dari USA pada pusingan kedua Malaysia Open ini.