Advertisement
Malaysia Open: Yew Sin-Ee Yi Terkandas, Tewas Kepada Rankireddy-Shetty
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Hasrat beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi untuk mara ke separuh akhir Malaysia Open 2025 musnah setelah tewas kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Setelah cemerlang menumbangkan jaguh pilihan dari Korea Selatan pada Khamis, Yew Sin-Ee Yi kembali turun bertemu Rankireddy-Shetty bagi aksi penentuan tempat ke separuh akhir.

Rekod pertemuan menyaksikan Rankireddy-Shetty memiliki kelebihan tipis apabila mencatatkan 5 kemenangan dalam 9 pertarungan lalu ketika berdepan Yew Sin-Ee Yi sejak 2020.

Permainan berlangsung cukup sengit dengan servis kerap bertukar tangan selain corak serangan pantas dipamerkan oleh Rankireddy-Shetty memaksa beregu negara bertahan.

Mata saling terikat sama sehingga kedudukan di hujung aksi dengan Yew Sin-Ee Yi miliki peluang untuk memenangi set pertama namun pasangan India ini lebih cekap dan muncul pemenang.

Bersambung di set kedua, skrip seakan sama apabila aksi sengit antara kedua-dua beregu sehingga skor dibezakan dengan dua mata sebelum Rankireddy-Shetty memecut.

Yew Sin-Ee Yi cuba bangkit dan mengejar di penghujung permainan namun itu tidak cukup untuk memintas beregu India ini sekaligus membawa Rankireddy-Shetty ke separuh akhir.

Pertarungan di gelanggan 1 berakhir dengan keputusan 26-24, 21-15 memihak Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.