Status kecederaan yang membelenggu bek kanan Kuching City FC, Jimmy Raymond meresahkan kem Malaysia.
Jimmy mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika beraksi dalam perlawanan ketiga Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Thailand baru-baru ini.
Kecederaan tersebut memaksa jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe memasukkan bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Alif Ahmad sebagai pengganti beliau pada minit ke-57.
SNE Sports kemudiannya memuat naik satu video yang menunjukkan Jimmy berjalan terhincut-hincut ketika meninggalkan Stadium Rajamangala. Beliau berjalan sambil dibantu rakan sepasukan, Fazrul Amir Md Zaman.
Sehingga artikel ini ditulis, pengurusan Harimau Malaya tidak menyatakan sejauh mana tahap kecederaan yang dialami Jimmy.
Meskipun begitu, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menjangkakan beliau akan melupakan baki kempen kejohanan seperti rakan sepasukan, Endrick dos Santos.
“Kalau kita tengok semalam (perlawanan pada 1 Ogos lalu), saya rasa Jimmy Raymond sudah terkeluar daripada kejohanan.
“Saya rasa saya kena dapatkan pengesahan status Jimmy Raymond sebab kalau saya tengok cara beliau mendarat semalam, buku lali beliau itu orang boleh kata teruklah.
“Saya rasa beliau akan terlepas (baki) kejohanan ini dan tempat itu akan digantikan oleh Alif Ahmad, pemain muda dan pemain Bawah 23 Tahun (B-23),” katanya kepada Nadi Arena.
Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, Cheng Hoe berpotensi memanggil beberapa pemain yang berada dalam senarai menunggu Harimau Malaya untuk menggantikan tempat Jimmy dan Endrick.
Bekas jurulatih Police Tero itu boleh memanggil sama ada Danial Amier Norhisham atau Fadzrul Danel Nizam sebagai pengganti Endrick. Ibrahim Manusi pula berpotensi mengisi slot bek kanan jika diperlukan oleh Cheng Hoe.
Semakan di Transfermarkt menunjukkan pemain berusia 24 tahun itu mampu beraksi sebagai bek tengah atau bek kanan jika diperlukan.
Selain itu, Ibrahim juga masih menunggu peluang untuk membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan untuk ASEAN Hyundai Cup.
Malaysia tewas 2-0 kepada Thailand dalam aksi ketiga kumpulan. Skuad negara kini perlu menewaskan Filipina untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir.