Malaysia mensasarkan untuk mencari lawan yang setara dengan Arab Saudi sebagai persiapan sebelum melangkah ke Piala Asia di Qatar awal tahun hadapan.
Harimau Malaya mendapat khabar yang kurang baik selepas pasukan kebangsaan Arab Saudi telah membuat keputusan untuk menolak pelawaan bagi berdepan Malaysia dalam aksi persahabatan.
Hal ini susulan kerisauan yang timbul oleh ketua jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini yang meramal bahawa pasukannya berpotensi untuk bertemu Malaysia pada pusingan 16 terakhir.
Oleh yang demikian, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mencari lawan yang setara dengan pasukan ke-91 dunia, Syria sudah pun mengesahkan aksi berdepan anak didik Kim Pan-gon pada 8 Januari 2024 di Qatar.
Menerusi satu kenyataan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin kepada wartawan Harian Metro, Firdaus Hashim, pihaknya sedang mencari beberapa pasukan yang setaraf dengan Arab Saudi untuk diadakan aksi persahabatan.
“Kalau nak ikutkan kita berdepan Syria dah rasmi. Arab Saudi sebelum ini memang kita dah hantar surat dan bersetuju namun jurulatihnya tidak mahu disebabkan kemungkinan boleh bertemu di pusingan 16 nanti.”
“Kita sedang mencari sekarang dan hampir kesemua pasukan dah sedia dan ada lawan mereka, takkan kita nak lawan pasukan lebih bawah.”
Hamidin memaklumkan bahawa antara pasukan yang berada dalam radarnya ialah Qatar bersama beberapa lagi pasukan.
“Kita sedang cuba satu atau dua lagi kalau dapat, kita tengok potensi macam Qatar dan satu lagi pasukan, tapi mungkin susah sikit. tapi kita sedang usaha dalam minggu ini atau hingga minggu depan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Malaysia diundi dalam Kumpulan l bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dalam usaha melakar kejutan dan sekurang-kurangnya layak ke pusingan berikutnya.