Advertisements
Romel Morales & Natxo Insa Dalam Senarai Bintang Malaysia Ke Piala Asia
Harimau Malaya
MakanBola
Aima/MakanBola

Skuad kebangsaan Malaysia mengumumkan barisan 26 orang pemain yang amat mengejutkan menjelang sepak mula Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung kurang sebulan dari sekarang dengan kelibat Romel Morales tersenarai buat kali pertama.

Pasukan bimbingan Kim Pan-gon mengharungi tempoh yang cukup cemerlang tahun ini termasuklah ketika merakamkan dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan juga Chinese Taipei.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai nama 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa, 26 Disember 2023 bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Antara nama yang menarik perhatian ialah kelibat pemain naturalisasi negara, Romel Morales yang dipanggil buat kali pertama sementara nama seperti Natxo Insa, Syamer Kutty dan Khuzaimi Piee kembali dalam skuad negara.

Pengendali kelahiran Korea Selatan ini mengekalkan 22 pemain daripada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, November lalu.

Selain itu, terdapat 19 pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam senarai di atas.

Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan persahabatan berdepan pasukan ke-91 dunia, Syria sementara satu lawan lagi masih tidak diumumkan dengan FAM mahu mencari lawan berprofil tinggi.

Malaysia akan membuka tirai di Piala Asia berdepan Jordan pada 16 Januari 2024 di Stadium Al-Janoub.