Meskipun kecundang di suku akhir Badminton Asia Team Championship (BATC) 2024, skuad wanita negara tetap berjaya melayakkkan diri ke Uber Cup 2024.
Skuad badminton wanita negara yang diketuai Thinaah Muralitharan pada BATC yang lalu berjaya menempatkan diri ke Uber Cup menerusi kedudukan ranking.
Mengikut kedudukan rangking, Malaysia berada di tempat kesepuluh dengan 190,777 mata dan berjaya meraih tiket ketiga yang juga tiket terakhir menerusi kuota ranking dunia selain Taiwan dan Amerika Syarikat.
Negara lain yang layak ialah tuan rumah, China dan juga juara bertahan edisi lalu, Korea Selatan di samping Australia yang layak daripada benua Oceania.
Slot daripada benua Asia diisi oleh semi finalis BATC minggu lalu iaitu India, Thailand, Jepun dan juga Indonesia.
Bagi benua Eropah, negara-negara pilihan seperti Denmark, Sepanyol, Perancis dan Scotland menepati ramalan untuk ikut terbang ke Chengdu, China.
Afrika Selatan dan Kanada yang masing-masing layak dengan kuota Afrika dan Pan Amerika melengkapkan 16 negara yang layak untuk beraksi di Uber Cup 2024 yang akan membuka gelanggang pada 28 April 2024.
Menurut Stadium Astro, persiapan skuad wanita negara dimulai dengan menghantar pemain perseorangan seperti K. Letshaana, Wong Ling Ching dan Siti Nurshuhaini Azman untuk berlatih di luar negara tetapi masih belum dimuktamadkan lagi.
Pada kejohanan BATC yang lalu, Malaysia terkandas di suku akhir setelah kecundang 0-3 kepada negara jiran, Indonesia.
Uber Cup dua tahun yang lalu menyaksikan skuad wanita negara sekadar berpuas hati menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan setelah mencatatkan satu kemenangan ke atas Mesir dan dua kekalahan kepada Thailand dan Denmark.