Harimau Malaya mengumumkan senarai 28 pemain terbaik bagi menghadapi aksi Vietnam vs Malaysia hujung bulan ini.
Pengumuman senarai 28 pemain Harimau Malaya dilakukan oleh pihak pengurusan pasukan kebangsaan menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi Malaysia National Team.
Daripada senarai tersebut, 4 orang penjaga gol iaitu Syihan Hazmi, Haziq Nadzli, Azri Ghani dan Haziq Aiman dipanggil bagi merebut tempat di posisi nombor satu Harimau Malaya.
13 pertahanan antaranya Matt Davies, Declan Lambert, Zikri Khalili, Dominic Tan, Ubaidullah Shamsul dan ketua pasukan, Dion Cools terus menjadi pilihan untuk mengemudi benteng negara.
Pemain naturalisasi negara yang kini beraksi di Liga Vietnam, Endrick Dos Santos turut memperoleh kepercayaan apabila tersenarai sebagai antara pemain tengah yang dipanggil oleh Peter Cklamovski.
Di bahagian serangan, nama Faisal Halim, Safawi Rasid dan Paulo Josue menjadi tumpuan penyokong Harimau Malaya untuk menggempur kubu pasukan Vietnam pada aksi getir itu nanti.
Malangnya, beberapa tonggak utama tidak tersenarai untuk perlawanan berdepan Vietnam ini seperti Arif Aiman, Romel Morales, Wan Kuzain dan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al Hafiz.
Daripada senarai tersebut, Peter Cklamovski mengekalkan 22 pemain yang dipanggil untuk aksi berdepan Nepal pada November lalu selain kehadiran semula Syahmi Safari dan Feroz Baharudin.
Aksi Vietnam vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada 31 Mac hadapan di Stadium Thieng Truong, Nam Dinh dengan sepak mula perlawanan tepat jam 8 malam waktu tempatan.