Beberapa perubahan berlaku dalam skuad Malaysia dan Vietnam selepas kali terakhir bertemu, 10 bulan yang lalu.
Skuad kendalian Peter Cklamovski kini menduduki tangga teratas Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Harimau Malaya cemerlang dengan 15 mata hasil 100 peratus kemenangan daripada lima perlawanan, sementara Vietnam di tangga kedua dengan 12 mata.
Terdapat beberapa kelainan terutamanya daripada skuad yang bakal ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dalam misi untuk melangkah ke pentas Piala Asia 2027.
Malaysia sudah pasti tanpa kudrat tujuh pemain – Jon Irazabal, Facundo Garces, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado yang mengalami penggantungan.
Bukan itu sahaja, situasi semasa memungkinkan pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi turut terlepas panggilan bersama Malaysia bagi kem, Mac ini susulan kecederaan sejak November lalu.
Situasi ini memungkinkan tonggak berusia 24 tahun itu tidak dipanggil bagi menghadapi Bintang Pahlawan Emas kali ini.
Sementara itu, Vietnam juga menghadapi ujian hebat selepas kapten pasukan, Bui Tien Dung dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan bertemu Harimau Malaya.
Malah, krisis jentera serangan Vietnam tidak kurang hebatnya selepas barisan penyerang pasukan ke-108 dunia itu tidak berada pada prestasi terbaik dengan Nguyen Van Vi dan Chau Ngoc Quang hanya merekodkan dua bantuan gol tanpa sebarang jaringan bagi musim 2025-26 di V-League.
Aksi antara Vietnam dan Malaysia dijadual pada 31 Mac 2026 jam 8.00 malam di Stadium Thien Thruong, Nam Dinh.