Xuan Son Dipanggil Perkuat Vietnam Hadapi Malaysia
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam memanggil penggempur naturalisasi, Nguyen Xuan Son bagi menghadapi Malaysia pada aksi terakhir kumpulan Kelayakan Piala Asia 2027 hujung bulan ini.

Pengumuman ini dilakukan oleh Thep Xanh Nam Dinh yang mengucapkan tahniah buat dua tonggak mereka iaitu Xuan Son dan Van Vi yang terpilih untuk menyarung jersi Vietnam kali ini.

“Tahniah kepada Xuan Son dan Van Vi yang tersenarai dalam skuad akhir Vietnam bagi menghadapi tempoh antarabangsa FIFA Mac 2026 serta aksi kelayakan Piala Asia 2027,” umum Nam Dinh di laman Facebook.

Sungguhpun begitu, Vietnam masih belum mengeluarkan senarai penuh pemain yang bakal menggalas tugas utama menjelang dua perlawanan penting yang akan berlangsung Mac ini.

Nama Xuan Son pastinya menjadi tumpuan ramai peminat selepas penggempur kelahiran Brazil ini membawa impak segera yang hebat kepada Vietnam selepas melalui proses naturalisasi.

Tonggak Nam Dinh itu berjaya menjaringkan 8 gol dalam 6 kaps bersama Vietnam, dengan tujuh daripadanya terhasil ketika muncul sebagai penjaring terbanyak ASEAN Mitsubishi Cup 2024.

Kehadiran Xuan Son tentunya meraih perhatian terutamanya peminat bola sepak negara setelah pemain berusia 29 tahun ini terlepas aksi menentang Malaysia di Bukit Jalil pada Jun tahun lalu.

Dengan ini, pertemuan Vietnam vs Malaysia bakal menjadi lebih menarik ketika mana pasukan Harimau Malaya masih belum lagi memberi bayangan barisan pemain yang bakal dipanggil nanti.

Sebelum bertemu Malaysia, anak didik Kim Sang-sik bakal turun dalam satu aksi persahabatan berdepan Bangladesh pada 26 Mac sebelum menentang Harimau Malaya 5 hari kemudian.