Ketua jurulatih CAHN, Mano Polking menganggap Selangor miliki barisan pemain berkualiti termasuklah ketua pasukan The Red Giants menjelang aksi ACC Shopee Cup pada Rabu.
Aksi minggu ke-4 Shopee Cup bakal menemukan Selangor vs CAHN dengan kedua-kedua kelab kini sedang memburu tempat terbaik dalam carta kedudukan kumpulan selepas 3 perlawanan.
Sedar dengan momentum yang dimiliki oleh Selangor, Mano Polking mahu anak-anak buahnya bersiap sedia untuk turun menghadapi Sang Gergasi Merah yang memiliki kelebihan di laman sendiri.
Malah, ada beberapa pemain pasukan Selangor yang dikenali seperti dua pemain skuad kebangsaan Thailand iaitu Picha Autra dan Kevin Deeromram namun mereka telah kembali ke Liga Thailand.
Prestasi hebat Chrigor Moraes di Malaysia ini turut menerima pujian selain Mano Polking turut mendedahkan kelibat kapten pasukan Selangor iaitu Faisal Halim juga antara pemain yang diminati.
”Ada beberapa pemain yang saya kenal iaitu dua tonggak kebangsaan Thailand yang baru saja meninggalkan kelab (Kevin Deeromram dan Picha Autra).”
”Chrigor juga penyerang yang hebat ketika di Buriram United dan beraksi cukup baik. Sudah tentu kapten kamu (Selangor) pemain yang saya minati,” ujar Mano Polking semasa sidang media.
”Selangor mempunyai pemain-pemain kebangsaan Malaysia yang bagus juga dan kita sudah bersedia untuk aksi sukar ini, malah CAHN juga memiliki barisan pemain yang baik di pihak kami.”
Perlawanan antara Selangor vs CAHN bakal diadakan pada Rabu, 28 Januari di Stadium MBPJ dengan sepak mula aksi dijadualkan bermula jam 9 malam.