Penyerang Brazil, Matheus Cunha mengingatkan pemain Jepun, Kento Shiogai bahawa pasukan itu sudah memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali.
Lensa kamera menunjukkan bintang Manchester United menunjukkan isyarat angka lima terhadap penyerang VfL Wolfsburg itu selepas tamat perlawanan kedua-dua pasukan itu.
Cunha dilaporkan berbuat demikian selepas merasa kurang senang dengan komen yang dibuat Shiogai dalam sidang media praperlawanan.
Penyerang berusia 21 tahun itu membuat komen yang menyatakan Brazil tidak sekuat seperti dulu jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan terkemuka lain seperti Argentina dan Perancis.
Susulan itu, Shiogai menjadi sasaran pemain Brazil selepas perlawanan pusingan 32 pasukan terbaik kedua-dua pasukan itu meskipun hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan.
Penyerang Jepun itu kemudiannya menjelaskan beliau tiada niat untuk meremehkan juara dunia lima kali itu. “Saya tiada niat untuk katakan Brazil itu lemah.
“Saya cuma mahu katakan bahawa Neymar menjaring gol itu kini tinggal sejarah. Tapi saya fikir tiada apa yang saya boleh lakukan tentang perkara itu selepas perkara ini berlaku (kekalahan Jepun di tangan Brazil),” katanya seperti dilaporkan Sponichi Annex.
Jepun tewas 2-1 di tangan Brazil dalam aksi pusingan 32 pasukan terbaik. Gol Casemiro dan Gabriel Martinelli memastikan Jepun terkandas di pusingan kalah mati buat kali kelima dalam sejarah pertandingan.