Piala Dunia FIFA: Brazil ‘Berpeluh’ Singkirkan Jepun
MakanBola
CBF

Brazil dipaksa bekerja keras untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA selepas bangkit penuh ajaib menyingkirkan Jepun pada awal pagi Selasa.

Aksi penuh sengit selama 90 minit menyaksikan Jepun terpaksa akur tewas kepada Brazil meskipun skuad Samurai Biru sempat memberikan kejutan besar sebelum kemenangan tipis 2-1 memihak kepada juara dunia 5 kali tersebut

Trio serangan Matheus Cunha, Vinicius Jr dan Rayan menjadi pilihan Carlo Ancelotti bagi mengepalai bahagian serangan Brazil sementara kesebelasan utama Jepun turut dibarisi pemain-pemain hebat seperti Ritsu Doan, Hiroki Ito serta Zion Suzuki.

Gawang Brazil dikejutkan dengan jaringan pembukaan Jepun pada minit ke-29 setelah gerakan solo Kaishu Sano berjaya memperdaya pertahanan sebelum melepaskan rembatan leret yang menewaskan Alisson Becker di pintu gol.

Casemiro muncul wira Brazil dengan jaringan penyamaan di minit ke-56 selepas hantaran silang Gabriel Magalhaes ditanduk cantik bekas bintang Manchester United itu meskipun gol tersebut sempat disemak semula oleh VAR.

Gol kemenangan Brazil disumbangkan oleh pemain gantian, Gabriel Martinelli pada masa tambahan selepas rembatan jarak dekat bintang Arsenal tersebut berjaya menewaskan Zion Suzuki buat kali yang kedua.

Aksi 90 minit di Houston berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak Brazil.

Menanti Brazil di pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA adalah pemenang aksi antara Ivory Coast vs Norway yang akan turun berentap pada 1 Julai, jam 1 pagi di Arlington, USA.