Pertahanan kental Malaysia, Matthew Davies yakin keadaan semasa pasukan negara berada pada tahap yang cukup memberangsangkan.
Beliau ketika ditemui di Wisma FAM hari ini menjelaskan, para pemain kini semakin mendapat sentuhan yang diharapkan selepas beberapa hari menjalani latihan.
Mengulas lanjut, pertahanan kebal JDT ini memaklumkan bahawa persiapan pasukan berjalan lancar terutamanya dari segi taktikal dan juga persiapan keseluruhan.
“Semakin lama kami bersama di kem maka persefahaman kami semakin baik. Ia bagus untuk kami kembali bersama semula dan beraksi pada satu landasan yang sama.”
Pemain berusia 28 tahun ini juga yakin keserasian yang sudah terbentuk sejak sekian lama menjadi kunci utama buat barisan pemain mempersembahkan aksi terbaik nanti.
Beliau juga yakin rakan sepasukan sudah berwaspada dengan cabaran yang bakal ditempuh di China apabila bakal menguji tuan rumah dan juga pasukan ke-94 dunia, Syria.
“Mereka (China dan Syria) mungkin menjadi lawan terbaik buat pasukan negara setakat ini. Pasukan ini (Malaysia) sudah diuji dengan beberapa pasukan sebelum ini dan kami menjangkakan lawan yang sengit terutamanya China,” jelasnya pada sesi sidang media hari ini.
Aksi getir ini akan berlangsung pada 6 dan 9 September 2023 dengan kedua-duanya berlangsung di Chengdu, China.
Malaysia terlebih dahulu akan menguji kekuatan pasukan ke-94 dunia, Syria sebelum berdepan gergasi ke-80 dunia iaitu China.